TAHAP PENGUASAAN TERHADAP KATA TANYA DALAM KALANGAN MURID SEKOLAH RENDAH: SATU KAJIAN AWAL
Abstract
Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran yang wajib dipelajari oleh murid dan melibatkan semua jenis aliran sekolah yang terdapat di negara ini. Selain empat kemahiran berbahasa yang wajib dipelajari oleh murid, aspek tatabahasa juga tidak terkecuali, malahan perlu dikuasai dengan baik oleh murid. Banyak kajian yang pernah dijalankan oleh pengkaji tempatan berkaitan dengan isu tatabahasa termasuk murid tidak memahami bahasa Melayu yang mendapati antara sebab berlakunya kesalahan tatabahasa disebabkan oleh kekurangan pengetahuan tentang sistem bahasa Melayu dan kekeliruan tentang makna perkataan. Oleh hal yang demikian, kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti tahap penguasaan murid sekolah rendah terhadap tatabahasa khususnya kata tanya. Kajian awal ini dijalankan di sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan yang terletak di bahagian Miri, Sarawak. Seramai 16 orang murid dipilih sebagai peserta kajian yang melibatkan kelas Tahun Dua Merah dan Tahun Tiga Ungu. Dalam kajian ini pengkaji menggunakan kaedah kajian kes, manakala instrumen kajian yang digunakan oleh pengkaji untuk mengutip data ialah ujian tatabahasa berbentuk lembaran kerja. Kajian ini berlandaskan teori Corder (1981) untuk menganalisis kesalahan bahasa yang dilakukan oleh murid. Sebanyak sepuluh soalan melibatkan penggunaan kata tanya diuji terhadap murid. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa murid-murid Tahun Dua Merah dan Tahun Tiga Ungu masih berada pada tahap lemah kerana terdapat 12 orang murid belum mencapai sekurang-kurangnya lima daripada sepuluh soalan dengan betul. Kesimpulannya, guru Bahasa Melayu disarankan agar mencari alternatif bagi membantu murid- murid yang belum memahami dan menguasai kata tanya. Oleh itu, guru boleh menggunakan pendekatan didik hibur seperti yang disyorkan melalui permainan untuk mengajar kata tanya kerana diyakini berupaya merangsang minat dan tumpuan murid ketika dalam proses pembelajaran.