PENGGUNAAN KAEDAH PERMAINAN TouchME UNTUK MEMBANTU MURID MENGUASAI KEMAHIRAN MENGENALPASTI CIRI-CIRI DAN TINGKAH LAKU KHAS HAIWAN UNTUK MELINDUNGI DIRI DARIPADA MUSUH DALAM MATA PELAJARAN SAINS TAHUN LIMA
Abstract
Murid menghadapi masalah mengenal pasti ciri-ciri dan tingkah laku khas haiwan untuk melindungi diri daripada musuh. Kajian tindakan ini dijalankan untuk melihat keberkesanan kaedah permainan TouchME dalam proses pembelajaran dan pengajaran mata pelajaran Sains. Fokus utama kajian ini adalah untuk mengatasi isu pembelajaran di mana murid sukar mengenal pasti ciri-ciri dan tingkah laku khas haiwan yang digunakan untuk melindungi diri daripada musuh. Kajian ini menggunakan model kajian tindakan yang dikemukakan oleh Kemmis dan McTaggart, melibatkan dua kitaran pelaksanaan. Sasaran kajian terdiri daripada 13 orang murid Tahun 5 dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Stampin, Kuching. 13 orang murid terpilih kerana mereka gagal menjawab soalan lembaran kerja semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Pelaksanaan kajian ini melibatkan pemerhatian terhadap respon murid semasa penggunaan permainan TouchME. Berdasarkan pemerhatian, didapati bahawa murid kelihatan seronok dan terlibat secara aktif semasa bermain permainan TouchME. Reaksi positif murid terhadap permainan ini memberikan indikasi bahawa kaedah ini berkesan dalam meningkatkan minat dan motivasi mereka terhadap pelajaran. Selain pemerhatian, penilaian keberkesanan permainan TouchME turut dilakukan melalui perbandingan skor ujian sebelum dan selepas intervensi. Hasil analisis menunjukkan bahawa semua murid mencatat peningkatan skor dalam topik Kemandirian Spesies Haiwan. Peningkatan ini menunjukkan bahawa objektif kajian tindakan telah tercapai, di mana intervensi yang diberikan berjaya meningkatkan pemahaman dan pengetahuan murid mengenai topik tersebut. Sebagai kesimpulannya, kajian ini menunjukkan bahawa integrasi teknologi dalam pengajaran boleh memberikan impak positif terhadap pembelajaran murid dan meningkatkan keberkesanan proses pengajaran.